Cuba Rujuk Bekas Isteri Berakhir Tragedi.


KOTA MARUDU: Hasrat seorang lelaki memujuk bekas isterinya untuk kembali bersama bertukar tragedi apabila anak pasangan itu yang berusia enam tahun cedera tertembak di Kampung Kerongkom Laut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, anak lelaki pasangan terbabit cedera di pinggang dan punggung akibat tertembak oleh senjata buatan sendiri jenis bakakuk dipercayai milik bapanya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, sebelum kejadian, suspek lelaki berusia 58 tahun itu dikatakan membawa bekas isterinya bersama dua anak mereka ke kedai untuk membeli belanja dapur.

Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan pulang berlaku perselisihan faham antara suspek dengan bekas isterinya yang berusia 39 tahun yang difahamkan bercerai sejak Ogos lalu.

“Kejadian berlaku ketika keluarga itu berjalan kaki pulang ke rumah apabila berlaku perselisihan faham antara suspek dan bekas isterinya.

“Suspek dikatakan cuba memujuk bekas isterinya namun wanita itu enggan menyebabkan suspek berang terus mengeluarkan selaras senapang bakakuk berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Izaan berkata, terkejut dengan tindakan suspek, bekas isterinya bertindak membawa kedua-dua anaknya lari menyelamatkan diri.

Katanya, suasana bertambah panik apabila mereka terdengar bunyi tembakan sebelum terus berlaku pergelutan antara suspek dan bekas isteri yang cuba dibantu seorang lagi anak perempuan mereka berusia 15 tahun.

“Kejadian disedari beberapa ahli keluarga bekas isteri suspek yang kemudiannya datang ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Suspek berjaya ditangkap dan diikat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam masa sama, anak pasangan berkenaan yang berlumuran darah terus dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohd Izaan berkata, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil bagaimanapun perlu dihantar ke Kota Kinabalu untuk rawatan susulan,” katanya.

“Suspek sudah ditahan dan senapang buatan sendiri jenis bakakuk, satu kelonsong peluru serta dua butir peluru hidup turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Tamat