Pemandu Gagal Mengawal Kenderaan Sebelum Merempuh Penghadang ‘Flyover’.


Kota Kinabalu: Siasatan mendapati pemandu kenderaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh penghadang laluan bertingkat ‘flyover’ sebelum terjunam ke bawah.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun bersama penumpang berusia 35 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Petagas, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pemandu iaitu mangsa yang maut, Jafri @ Jeffrey Pelasin, 51, gagal mengawal kenderaan yang dipandunya sehingga terbabas ke kiri jalan.

“Kenderaan mangsa terlanggar penghadang besi di kiri jalan menghala ke Putatan dan menyebabkan mangsa tercampak keluar dan tersangkut di atas Jalan Flyover KKIA.

“Manakala isteri mangsa berusia 35 tahun berada di dalam kenderaan terjunam ke bawah Flyover Jalan Kepayan – Putatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, pemandu dan mangsa tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil untuk analisa kandungan alkohol dan dadah

Katanya, kemalangan menyebabkan pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya yang parah di bahagian perut ditempatkan di unit Zon Merah Kecemasan Hospital Queen II (HQEII) untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau merbahaya,” katanya.

Tamat