1,995 PATI Diusir.

TAWAU: Seramai 1,995 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diusir sejak April hingga Oktober lalu menerusi Operasi Cegah PATI (OCP) Laut.

Pengusiran pulang pati itu sebagai salah satu usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang dipercayai dibawa mereka berdasarkan kepada kes penularan wabak berkenaan di penjara atau Pusat Tahanan Sementara (PTS).

Ketua Staf Operasi Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Laksamana Pertama Hamid Mohd Amin berkata, semua PATI yang dihantar pulang berusia lingkungan dua hingga 60 tahun.

Katanya, mereka ditahan ketika cuba memasuki daerah ini menggunakan laluan tidak diwartakan di sekitar perairan batu 1 hingga batu 5, Jalan Apas, di sini.

“Kita berharap tindakan ini dapat mengekang dan memutuskan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan PATI.

“Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama dan sokongan pelbagai agensi keselamatan dalam melaksanakan operasi bersepadu dalam OCP,” katanya di sini, hari ini.

Hamid berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP Laut akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan daerah ini terutamanya cubaan kemasukan PATI dari Pulau Sebatik, Indonesia.

Katanya, OCP Laut yang mula diaktifkan pada awal April lalu, adalah Operasi Bersepadu Khas membabitkan pelbagai agensi keselamatan yang ditubuh khusus mengekang kemasukan PATI.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi penguatkuasaan yang turut terlibat dan membantu dalam OCP Laut termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Sehubungan itu, Hamid menyeru semua Komuniti maritim pesisir pantai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya berlaku pencerobohan masuk PATI untuk tindakan segera.

“Komuniti maritim juga diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan tekong laut yang cuba menyeludup masuk PATI ke daerah ini.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak yang bersubahat dan cuba melindungi PATI masuk ke negara ini,” katanya.

Tamat