KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sudah menjalankan sebanyak 1,337 proses sanitasi, setakat ini.
Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, jumlah itu direkodkan bermula Mac hingga 30 Oktober lalu di seluruh negeri Sabah.
Katanya, usaha itu membabitkan bangunan-bangunan kerajaan dan juga tempat awam menerusi permintaan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri yang turut dianggotai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sakiranha ada pihak yang memerlukan proses sanitasi ini, kami akan lakukan mengikut keperluan.
“Bagaimanapun terdapat kekangan dari aspek kekurangan keanggotaan bertugas sejak berdepan pandemik ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kamarulzaman berkata, setakat ini JBPM mempunyai purata 295 anggota di 25 balai bomba seluruh Sabah.
Namun katanya, setiap balai memerlukan pasukan bersiap sedia untuk panggilan kecemasan yang mengancam nyawa seperti kebakaran.
“Manakala selebihnya akan bersedia untuk proses sanitasi. Memang terhad dari segi keanggotaan kerana jadual anggota yang bekerja adalah padat.
“Pasukan bomba perlu bertugas 24 jam setiap hari, untuk melaksanakan kedua-duanya tugasan ini, sudah tentu berlaku ketidakcukupan anggota,” katanya.
Sehubungan itu, Kamarulzaman meminta masyarakat supaya memahami keadaan yang dihadapi pihak JBPM yang kini semakin bertambah dari segi bebanan kerja dan tugas.
“Ketika keadaan pandemik, tugas kita semakin bertambah. Jadi kita meminta masyarakat faham dalam keadaan pandemik ini panggilan kecemasan juga semakin tinggi.
“Sebab itu, kita minta masyarakat duduk di rumah, kerana kalau mereka berada di luar, kemungkinan berlaku kecemasan iaitu kemalangan itu ada berlaku,” katanya.
Tamat







