APMM USIR BOT NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN

KOTA KINABALU: Bot Ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, hari ini, berjaya mengusir sebuah bot nelayan asing yang dikesan menceroboh perairan negara.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, bot asing dari Vietnam itu dikesan di kedudukan 19 batu nautika timur Pulau Tigabu, di sini, dipercayai menceroboh untuk mengaut hasil laut negara ini.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan berwarna kuning dengan nombor pendaftaran BWFSYA3 itu berjaya dikesan oleh Bot Ronda Maritim yang sedang melaksanakan OP KUDA LAUT di sekitar perairan Kudat.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot nelayan berkenaan cuba melarikan diri ke arah perairan sempadan Malaysia-Filipina.

“Bot berkenaan bertindak memecut menuju sempadan perairan Malaysia-Filipina apabila diarahkan berhenti oleh pasukan APMM.

“Bot Ronda Maritim terus membayangi dan mengiringi bot nelayan Vietnam itu keluar sehingga ke sempadan perairan negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, ini adalah insiden pengusiran kedua yang berjaya dilakukan oleh Zon Maritim Kudat sepanjang bulan ini.

Katanya, mengikut rekod sebanyak enam bot nelayan asing Vietnam sudah diusir keluar dari perairan Sabah setakat ini.

“Pengusiran pertama ke atas sebuah bot pada

bulan Mei di perairan Sandakan, dua bot pada bulan September di perairan Kota Kinabalu dan Kudat.

“Manakala pada bulan Oktober satu bot diusir di sekitar perairan Kudat dan dua lagi direkodkan pada bulan November ini juga di perairan Kudat,” katanya.

Mohd Rosli berkata, pihak Maritim Negeri Sabah akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun.

Katanya, ia bagi memastikan tiada pencerobohan oleh bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam perairan negara dalam usaha menghentikan pendemik yang melanda negara terutamanya di negeri Sabah.

Tamat