DBKK Bayar Zakat Kepada PZS.

KOTA KINABALU: Pusat Zakat Sabah (PZS) menerima bayaran zakat sebanyak RM53,585.83 daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Holdings Sdn Bhd sebagai zakat perniagaan, hari ini.

Penyerahan bayaran berkenaan disaksikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dalam satu majlis ringkas di pejabat Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini.

Mohd Arifin berkata, pembayaran zakat itu akan digunakan untuk membantu golongan memerlukan dan asnaf terutamanya ketika berhadapan pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, zakat perniagaan ini adalah tanggungjawab setiap agensi kepada Pusat Zakat Sabah.

“Menerusi zakat perniagaan ini, lebih ramai golongan asnaf akan dapat dibantu dan menjadi tanggungjawan kita sebagai pihak diamanahkan untuk menjaga wang zakat supaya dapat disampaikan kepada asnaf yang lain.

“Jadi saya menyeru kepada pihak lain yang sudah sampai masanya untuk tunaikan zakat seperti  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan perniagaan yang lain supaya tampil menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan ini,” katanya selepas menyaksikan penyerahan cek berkenaan.

Hadir sama pada majlis penyerahan cek itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn Bhd, Karim Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali.

Mohd Arifin berkata, menerusi pembayaran zakat itu pihak Pusat Zakat Sabah turut berjaya membantu pihak lain terutama pasukan petugas barisan hadapan dalam menanggani pandemik Covid-19 di Sabah.

“Setakat ini sebanyak enam program kita laksanakan untuk membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19, selain pemberian one-off bantuan kepada golongan asnaf, bantuan turut diberikan kepada 100 masjid terpilih untuk mereka menunaikan atau membantu masyarakat di kawasan anak kariah mereka.

“Kita turut memberi bantuan sebanyak RM1.4 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu mereka berhubung keperluan mendesak untuk klinik atau hospital dalam menghadapi Covid-19,” katanya.

Tamat