
Penampang: Polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang masih degil dan ingkar dalam mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP).
Masyarakat perlu mematuhi semua prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, walaupun hebahan menerusi pelbagai variasi platform dibuat namun masih terdapat individu degil.
Katanya, terbaru pihaknya mengeluarkan kompaun ke atas lapan lagi individu yang ingkar dan melanggar SOP PKPB di dua lokasi yang berasingan.
“Polis menahan dan mengeluarkan kompaun ke atas seorang lelaki yang sedang melakukan aktiviti sukan riadah berbasikal di Jalan Papar Lama- Lok Kawi Baru, semalam.
“Pada masa yang sama polis juga mengeluarkan kompaun terhadap tujuh lagi individu di sebuah kafe di Kampung Tembovo, Jalan Penampang Lama, kerana didapati berkumpul dan tiada penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, sebarang aktiviti sukan riadah dan rekreasi tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh perlaksanaan PKPB in
Katannya, pelanggan restoran atau kafe juga tidak dibenarkan untuk makan di premis menjual makanan.
“Perbuatan itu jelas menunjukan mereka seolah-olah ‘kebal’ dengan tindakan undang-undang dan sengaja tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Semua individu terbabit masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan melanggar Peraturan -Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) ( No 8 ) 2020,” tegasnya.
Sehubungan itu, Mohd Haris mengingatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi SOP PKPB.
Katanya, ia adalah untuk kepentingan masyarakat semua agar rantaian Covid-19 ini dapat segera diputuskan.
Tamat







