Keningau: Usaha mencari dua beradik yang hilang selepas pacuan empat roda dinaiki bersama bapa mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Liawan, Kampung Dangulad, di sini, masih diteruskan.
Mangsa yang masih gagal ditemui itu dikenali sebagai Jason Lim, 6 dan Amber Lim 4 tahun manakala bapa mereka yang turut hanyut terselamat sejurus selepas kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, setakat ini, usaha pencarian yang dijalankan membabitkan 35 keanggotaan daripada pelbagai agensi itu masih gagal menemui kedua-dua mangsa.
Katanya, operasi pencarian yang dijalankan meliputi kawasan Sungai Liawan di tempat kejadian sehingga Sungai Pegalan.
“Operasi yang disambung semula jam 8.30 pagi tadi dengan dibantu pelbagai agensi lain itu masih gagal menemui kedua-dua terbabit.
“Pasukan bomba sudah mengerahkan keanggotaan terlibat supaya mencari mangsa menggunakan pelbagai kaedah bersesuaian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mudi berkata, usaha pencarian ini akan diteruskan lagi sehingga kedua-dua mangsa berjaya ditemui.
Dalam kejadian malam tadi, kedua-dua beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa mereka hanyut ketika cuba melintasi jambatan konkrit di kampung berkenaan.
Kenderaan Toyota Hilux berkenaan hanyut selepas dibadai arus deras selepas air dikatakan tiba-tiba naik mendadak.
Tamat










