Penduduk Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah Dibenarkan Keluar.

IMG_1093

LAHAD DATU: Penduduk Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, di sini, dibenarkan keluar untuk bekerja dan urusan kecemasan walaupun berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, bagaimanapun kebenaran untuk keluar itu masih tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD.

Katanya, beliau yang turun ke lokasi itu semalam sudah memberi penjelasan kepada penduduk berkenaan mengenai SOP yang ditetapkan bagi kawasan mereka.

“Saya melihat keadaan yang berlaku di dua kawasan ini dan menerangkan bahawa mereka boleh keluar bekerja dengan menyertakan surat pengesahan majikan dan kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Seorang daripada ahli keluarga penduduk juga boleh keluar untuk membeli barangan keperluan dan makanan, keluar ke bank atau membabitkan urusan kecemasan seperti mendapatkan perubatan hal kesihatan termasuk kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, penduduk diletakkan di bawah penguatkuasaan PKPD tetapi masih ada kelonggaran SOP walaupun ia dilanjutkan.

“Ramai yang bimbang tidak boleh keluar untuk bekerja dan risau hilang pekerjaan sekali gus tiada pendapatan.

“Perkara ini saya sudah terangkan, namun, memandangkan saya datang selepas jam 6 petang, rata-rata penduduk tidak dapat surat pengesahan majikan jadi mereka diberi kelonggaran supaya mendapatkan dokumen melalui aplikasi WhatsApp.

“Hari ini cuma tunjukkan kepada petugas di kedua-dua lokaliti, kemudian mereka boleh cetak surat itu nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Nasri berkata, perkara itu berjaya diselesaikan malam tadi apabila penduduk di dua lokaliti itu diberi penjelasan mengenai SOP walaupun mereka dilanjutkan PKPD bermula hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya mengambil maklum dan memahami keadaan penduduk yang sudah lama terkurung akibat PKPD yang dilaksanakan di dua lokaliti itu.

Namun katanya, perkara itu perlu mengambil kira perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya berharap penduduk bertenang kerana keputusan yang diambil itu adalah mengambil kira kebaikan secara keseluruhan.

“Saya akan meminta MKN Sabah dan JKNS untuk menilai semula keadaan di situ dan dilaporkan dalam mesyuaran MKN yang seterusnya,” katanya dalam sidang media, di Wisma Innoprise, semalam.

Tamat