SANDAKAN: Cubaan menyeludup rokok tanpa bercukai gagal apabila kegiatan ini berjaya dapat dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, di Sungai Luboh, di sini, semalam.
Dalam operasi Ops Landai Khas yang dijalankan jam 8 malam itu, sebanyak 7,990 bungkus rokok berjaya dirampas.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, pihaknya menyedari sebuah bot yang dipandu seorang lelaki di kawasan berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, juragan bot berkenaan bertindak memecut laju bot ke kawasan cetek sebelum terjun melarikan diri ke kawasan paya bakau.
“Pasukan polis cuba mengejar suspek namun gagal mengesan suspek melarikan diri ke kawasan paya bakau.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot jenis kayu itu berjaya menemukan sebanyak 7,990 bungkus rokok pelbagai jenama antaranya Astro Merah, Royal Premium, Grow, Menara, Arena dan Gudang Garam dipercayai tidak bercukai,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rusdin berkata, semua rokok dianggarkan bernilai RM91,289.42 termasuk cukai dan dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot kayu, enjin sangkut jenama Yamaha 20 kuasa kuda pula dianggarkan berjumlah RM111,289.42.
“Barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Rusdin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi).
Sehubungan itu, Rusdin berkata, pihak PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0132831197.
Katanya, masyarakat juga boleh berhubung terus ke Gerakan PPM Sandakan di talian ‘089-221453’ bagi memastikan keselamatan perairan Malaysia dapat dilindungi daripada anasir jahat.
Tamat









