PPM Patahkan Cubaan Seludup Arak.

Labuan: Cubaan seorang juragan menyeludup keluar minuman keras dari Labuan gagal apabila kegiatannya itu berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan laut pantai Navy, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Juragan bot berusia 32 tahun terbabit ditahan pasukan PPM bersama bot laju yang dimuatkan dengan pelbagai minuman keras bernilai hampir RM10,000.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Inspektor Shafiq Rezza berkata, bot laju itu dikesan bergerak dari Labuan menuju ke Menumbuk sebelum dipintas anggota PPM yang sedang menjalankan rondaan.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat minuman keras dipercayai cuba diseludup keluar.

“Bot laju berkenaan ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menyeludup barangan tanpa cukai.

“Turut dirampas bot laju bersama enjin yang digunakan untuk membawa barang seludup berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Shafiq berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot laju yang dirampas dianggarkan berjumlah RM70,000.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Shafiq berkata, aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok perlu dibanteras kerana ia mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

Katanya, PPM sentiasa mengalu-alukan supaya orang awam khususnya masyarakat maritim agar sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis untuk sama-sama membantu menjaga keamanan perairan negara.

Tamat