
Kota Kinabalu: “Setakat ini belum ada sebarang laporan tetapi pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa saja sekiranya perhimpunan ini diadakan,” tegas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.
Menurutnya, sekiranya ada perhimpunan dilakukan, pihak polis akan mengenakan kompaun, membuat tangkapan dan sebagainya.
“Pertama sekali, harus diingat sebarang perhimpunan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Polis amat mengambil perhatian terhadap cubaan berhimpun, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 yang amat membimbangkan ketika ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, polis juga akan ambil tindakan terhadap pemilik akaun facebook yang membuat kenyataan di laman berkenaan.
Dalam kenyataan yang tular di laman sosial berkenaan, seorang pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Pakdin’ menyeru orang ramai supaya menyertai demonstrasi di hadapan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jam 11 pagi, Isnin depan.
Kenyataan berkenaan sebagai menuntut KWSP untuk mengeluarkan wang simpanan pekerja bagi meringankan beban ketika pendemik Covid-19 ketika ini.
Bagaimanapun, kenyataan itu turut mendapat maklum balas daripada beberapa pengguna facebook yang menyuarakan pendapat tidak setuju dengan cadangan berkenaan.
Salah seorang pengguna facebook berkata, tindakan berdemo ketika pandemik Covid-19 ini membahayakan diri sendiri dan orang ramai.
Selain itu, ada juga yang menyatakan tindakan berkenaan tidak akan menguntungkan sesiapa.
Tamat









