
TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya merampas 22,900 bungkus rokok seludup yang ditinggalkan di pantai Kampung Hidayat, Jalan Apas, di sini, semalam.
Semua rokok yang dianggarkan bernilai RM288,032 itu ditemui dalam Op Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan, kira-kira jam 7.35 malam.
Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, operasi dijalankan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti mencurigakan daripada radar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengesan pergerakan bot dari arah Pulau Sebatik menuju ke kampung terbabit berkenaan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya menyedari sebuah bot memecut laju ke arah laut dipercayai selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan itu di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa bungkusan mengandungi pelbagai jenis rokok yang ditinggalkan di tepi pantai berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati antara jenis rokok seludup tidak bercukai yang berjaya dirampas termasuk 9,600 bungkus rokok jenama Primero, 10,200 bungkus rokok jenama Djarum Black dan 3,100 bungkus rokok jenama Surya Menthol Slim,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Ahmad Fuad berkata, semua rokok yang dirampas itu disyaki dibawa masuk untuk pasaran tempatan.
“Semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan semangat kerjasama ESSCOM dengan pelbagai agensi keselamatan lain dalam operasi ini.
“Kerjasama ini dilihat sebagai salah satu usaha yang mampu mengesan dan sekali gus menggagalkan beberapa percubaan tekong laut membawa masuk barangan seludup seperti rokok, syabu dan barang-barang kawalan lain,” katanya.
Ahmad Fuad berkata, dalam operasi kali ini, seramai 22 anggota yang terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) yang diketuai oleh ESSCom dikerah ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
Tamat







