Kota Kinabalu: Gara-gara menegur bunyi bising radio, seorang lelaki nyaris maut selepas cedera ditikam dalam kejadian di kawasan Pelabuhan Sepanggar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pembantu perkapalan cedera di bahu kiri selepas ditikam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa dikatakan bersama lima lagi rakannya sedang melepak bersama di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, salah seorang rakannya kemudian mempelawa seorang lagi rakannya iaitu suspek dalam kejadian ini untuk lepak bersama.
“Suspek berusia 20-an itu dikatakan datang sambil membawa radio yang dipasang dengan kuat. Mangsa kemudiannya menegurnya supaya menghentikan radio itu kerana bunyinya sangat bising.
“Suspek dikatakan naik semula ke atas kapal sebelum kembali semula dan terus bertindak menikam mangsa menggunakan pisau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, mangsa yang cedera terus dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKKS) Sabah oleh empat rakannya manakala suspek pula terus melarikan diri.
“Mangsa yang menerima enam jahitan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya.
Tamat









