KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 8,480 rokok putih dan kretek yang dipercayai diseludup masuk tanpa membayar cukai dalam operasi Op Terancang di sebuah rumah kedai di Pulau Gaya, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 2 petang itu, seorang lelaki warga Pakistan turut ditahan PPM selepas didapati menyembunyikan rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM30,400 itu di dalam premis runcit jagaannya.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, Operasi Terancang itu memberi tumpuan terhadap penyeludupan dan penjualan rokok tidak bercukai.
Katanya, berdasarkan maklumat dan aduan awam, sepasukan pegawai dan anggota PPM Kota Kinabalu menjalankan serbuan di sebuah rumah kedai di kawasan Pulau Gaya.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas rumah kedai tidak bernombor telah menemui pelbagai jenis rokok yang disembunyikan di sebalik susunan barangan runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Namun taktik itu berjaya dikesan selepas pengeledahan secara teliti dijalankan. Seorang warga Pakistan berusia lingkungan 24 tahun yang juga penjaga premis berkenaan ditahan untuk bantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Enturan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri dan polis turut merampas telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Katanya, tangkapan dan rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastan 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama dan jika sabit kesalahan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi,” tegasnya.
Tamat







