ESSCOM TAHAN WARGA ASING CUBA SELUDUP BARANG KEPERLUAN.

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan seorang wanita warga asing selepas disyaki cuba membawa masuk barangan keperluan harian ke daerah ini tanpa permit yang sah, hari ini.

Wanita berusia 43 tahun terbabit ditahan ketika dalam perjalanan dari negara jiran menuju ke perairan Muara Sungai Tawau Lama di Batu Tiga, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am Batalion 14, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai ESSCOM diatur gerak ke lokasi.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, pasukan ESSCOM mengesan dan tahan sebuah jongkong yang sarat dengan muatan barang-barang disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, seorang wanita berada di dalam jongkong bersama dengan barangan seludup.

“Siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan mengakui cuba membawa masuk barangan berkenaan tanpa memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan”, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, antara barangan yang dirampas termasuk 20 kotak gula merah indonesia, satu kotak perikuk kukus, 12 buah kuali kawah, enam kotak kuali aluminium, satu karung penyapu, satu karung kain baju daster, sembilan karung beras pulut hitam, empat karung cheddar cheese, lapan karung serbuk kuku bima dan dua karung sambal pechal.

Selain itu katanya, pihaknya turut merampas dua karung serbuk cincau, enam karung serbuk minuman pop ice, tiga karung kertas tembakau, 14 karung perasa masakan masako dan satu karung batang kayu penyapu.

“Turut dirampas perahu kayu jenis jongkong bersama enjin sangkut yamaha 40 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000.00,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, suspek wanita itu ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis Tawau untuk siasatan lanjut untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Ahmad Fuad menyeru semua lapisan masyarakat khususnya komuniti pesisir pantai supaya sentiasa memberikan kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga pihak pasukan keselamatan.

Katanya, sebarang maklumat boleh dilaporkan kepada pihak ESSCOM untuk tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Tamat