Lelaki ‘Keldai Dadah’ Ditahan.

Kota Kinabalu: Sanggup jadi ‘keldai dadah’ untuk mendapat duit keuntungan mudah. Itu kegiatan seorang lelaki yang ditahan polis selepas didapati menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di Manggatal, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 2.20 petang itu, suspek lelaki tempatan berusia 33 tahun terbabit dikesan berperanan sebagai penjual dadah jenis syabu secara kecil-kecilan kepada pembeli di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang penganggur mengedar syabu di kawasan perumahan Telipok.

Katanya, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang bertindak atas maklumat risikan dan intipan.

“Sebelum ditahan, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan tergesa-gesa sambil memegang beg plastik masuk sebuah kenderaan Proton Saga FLX.

“Suspek kemudiannya terus ditahan dan pemeriksaan mendapati beg plastik yang dibawa berisi tiga paket syabu seberat 63.06 gram yang dianggarkan bernilai RM6,300 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

George berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Akta Dadah Berbahaya selain positif ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 15(1£(a) akta sama.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Tamat