Lahad Datu: Seorang penggangur lelaki berjaya ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam operasi khas ‘Op Tapis’ di Kampung Bakau, di sini, semalam.
Operasi jam 12.45 tengah hari itu dijalankan sepasukan polis yang dianggotai lapan anggota dan seorang pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 52 tahun.
Katanya, suspek dikenalpasti menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu di sekitar kampung atas air berkenaan.
“Ketika ditahan, polis turut merampas satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi tiga paket plastik berisi ketulan hablur disyaki syabu.
“Dadah yang berjaya dirampas seberat 152.55 gram dan dianggarkan bernilai RM22,882.50 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut didapati positif dadah jenis metaphetamine.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Rohan berkata, sepanjang Januari hingga semalam, IPD Lahad Datu merekodkan sebanyak 761 kes membabitkan 815 tangkapan.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan pula mencatatkan sebanyak RM180,705 membabitkan 3,071.2 gram.
“Sehubungan itu, polis memohon kepada orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah dadah di daerah ini untuk tindakan pembanterasan,” katanya.
Tamat





