MARITIM NEGERI SABAH BANTU MYFUND ACTION EDAR KOTAK MAKANAN


KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menghulurkan bantuan logistik dari segi pengangkutan kepada MYFund Action bagi menghantar bekalan berupa pek makanan ke Pulau Mantanani, Kota Belud dan Pulau Banggi, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tiga bot peronda dari Zon Maritim Kudat ditugaskan bagi melaksanakan penugasan penghantaran makanan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM45,000.

Katanya, sebanyak 150 kotak makanan akan diagihkan kepada penduduk di Pulau Mantanani dan 150 lagi untuk penduduk di Pulau Banggi.

“Sebuah kotak makanan ini dianggarkan bernilai RM150 setiap satu dan mengandungi 15 jenis barang makanan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya.

“Hujung tahun merupakan musim tengkujuh yang membawa kepada keadaan laut bergelora dan amat bahaya kepada komuniti maritim untuk melakukan aktiviti di laut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam rangka lawatan rasmi ke Zon Maritim Kudat turut memaklumkan selain memberi bantuan aset kepada pasukan sukarelawan berkenaan, Maritim Negeri Sabah turut melaksanakan Program “Preventive SAR” bagi komuniti maritim di kedua-dua pulau berkenaan.

Dalam lawatan itu, Mohd Rosli turut mengedar risalah dan pelekat peringatan keselamatan di laut kepada penduduk di pulau berkenaan.

Mohd Rosli berkata, mengikut kepada statistik Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Sabah, sebanyak 21 kes mencari dan menyelamat direkodkan sepanjang tahun ini yang diakibatkan cuaca buruk.

Sehubungan itu katanya, komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa peka kepada keadaan cuaca semasa, lakukan aktiviti di laut secara berkumpulan, pastikan bot yang digunakan berada dalam keadaan baik dan selamat serta jangan lupa untuk memakai jaket keselamatan.

Katanya, beberapa peralatan keselamatan yang perlu dibawa semasa keluar melakukan aktiviti dilaut adalah seperti wisel, lampu suluh dan Personal Locater Beacon (PLB).

“Hubungi talian MERS 999 apabila berlaku kecemasan di laut atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan yang beroperasi 24 jam setiap hari ditalian 088-387864,” katanya,

Tamat