LAHAD DATU: Sebuah bot nelayan jenis pukat tunda ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dalam satu operasi “Op Benteng Covid” di kawasan perairan Sungai Meruap, Tambisan, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 9 pagi itu, bot nelayan berkenaan didapati sedang leka menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan dan melanggar syarat lesen perikanan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, ketika ditahan, PPM menemui pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 30 kilogram.
Katanya, PPM tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang dilakukan kerana aktiviti menangkap ikan oleh bot nelayan jenis pukat tunda secara berdekatan dengan persisiran pantai serta di sungai.
“Aktiviti ini adalah sangat berbahaya kepada nelayan-nelayan kecil dan juga terhadap ekosistem ikan serta batu karang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Gan berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke jeti Martek PPM Pulau Tambisan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen.
“Rampasan kali ini membabitkan ikan hasil tangkapan, kapal pukat tunda dan peralatan kapal dianggarkan keseluruhan bernilai RM 75,900.
“Rampasan dibawa ke jeti Martek PPM Pulau Tambisan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen,” katanya.
Sementara itu, Gan berkata, PPM menasihatkan komuniti laut supaya mematuhi peraturan-peraturan perikanan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan.
Katanya, PPM juga menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0132831197.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Gerakan PPM Lahad Datu di talian 0139808084 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal,” katanya.
Tamat








