558 Individu Dikenakan Kompaun Sepanjang PKPB Daerah Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu: Seramai 558 individu sudah dikenakan tindakan kompaun oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, 13 Oktober lalu sehingga semalam.

Itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dikenakan kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah seramai 812 individu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka dan tidak menuruti Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti berkumpul.

Katanya, semua kesalahan itu dikesan dalam operasi pemantauan oleh pasukan khas yang ditubuhkan membabitkan pegawai dan anggota di semua seluruh kawasan pentadbiran IPD Kota Kinabalu.

“Kebanyakan tindakan kompaun ini dijalankan di pusat yang menyalahguna lesen sebagai ‘kafe’ memandangkan operasi pusat hiburan masih tidak dibenarkan.

“Tindakan kompaun ini akan diteruskan sebagai memperlihatkan ketegasan PDRM dalam melaksanakan penguatkuasaan PKPB di daerah ini,” katanya pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Akhir Tahun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, pemantauan dan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang perlaksanaan PKPB.

Sementara itu, Habibi berkata, sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan, lebih 200 anggota dan pegawai IPD Kota Kinabalu dikuarantin manakala 50 lagi disyaki positif Covid-19.

Bagaimanapun katanya, setakat ini semua anggota dan pegawai terbabit sudah disahkan bebas dan betugas seperti biasa.

“Mengikut laporan terbaru, ketika ini seramai 25 anggota dan pegawai masih dikuarantin manakala hanya enam yang masih positif,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi menasihati orang ramai supaya sentiasa menuruti SOP ditetapkan dalam usaha membanteras penularan pandemik Covid-19.

Tamat