Cadang Laksana Halang Senarai Hitam Pesalah Jenayah Masuk Sabah.


Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan mencadangkan untuk mewujudkan halangan individu senarai hitam untuk masuk ke negeri ini.

Selain itu, cadangan berkenaan turut dikuatkuasakan bagi tindakan pengusiran keluar penjenayah terutamanya pendatang asing tanpa izin (PTI) ke negara masing-masing.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazalie berkata, cadangan itu bagaimanapun perlu diperhalusi sebaiknya sebelum dilaksanakan.

Katanya, ini akan membabitkan pesalah jenayah, termasuk tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk memperhalusi cadangan untuk senarai hitamkan semua penjenayah terutamanya sekali golongan PTI yang melakukan jenayah.

“Sabah mempunyai bidang kuasa imigresen sendiri dan kita cadangkan pesalah-pesalah ini dihalau dari Negeri Sabah atau menghalang mereka masuk ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan pengiring Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah, di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Hazani berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan negeri Sabah dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Hazani berkata, suspek utama kes rusuhan di Beaufort baru-baru ini, ‘Jimmy Black’ masih dalam buruan pihak berkuasa negeri ini.

Katanya, suspek dipercayai masih berada di negeri ini dan polis menasihatinya supaya menyerah diri bagi membantu menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

“Hari ini, seramai lapan individu membabitkan kes berkenaan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tamat