Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah belum menerima sebarang laporan berhubung kes sindiket pengedaran daging sejuk beku haram, setakat ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, polis bagaimanapun akan memantau dari semasa ke semasa.
“Tiada laporan diterima setakat ini berkaitan pengedaran kartel daging haram dari luar negara,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan pengiring Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah, di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.
Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru, Johor diserbu pihak berkuasa berkaitan kes berkenaan.
Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) membawa kepada penemuan kegiatan menyeludup daging sejuk beku.
Kartel berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti membuat label dan cap palsu yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai Ops Benteng, Hazani berkata, operasi berkenaan akan diteruskan bersama agensi berkaitan lain.
Katanya, ia termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak Esscom bersama PDRM bagi memastikan sempadan negara sentiasa terjaga.
“Semua agensi berkaitan meneruskan operasi dari semasa ke semasa. Setakat ini tiada maklumat atau laporan kejadian jenayah rentas sempadan.
“Pasukan keselamatan negara jiran turut memainkan peranan masing-masing untuk memastikan jenayah dapat dibendung dan penyebaran pandemik Covid-19 sentiasa terkawal,” katanya.
Tamat








