35 Saman dan 9 Kenderaan Disita.

Kota Kinabalu: Sebanyak 35 saman dikeluarkan dalam Operasi Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Kawasan Aeropod, Jalan Kepayan, di sini, malam Sabtu lalu.

Dalam operasi selama enam jam yang bermula jam 10 malam itu, polis turut menyita sembilan kereta atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan yang tidak menepati spesifikasi dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, sepanjang operasi itu, polis menahan 86 kenderaan pelbagai jenis untuk pemeriksaan secara teliti dengan menggunakan alat MCOPS selain turut memeriksa 106 individu membabitkan pemandu dan penumpang.

“Semua kenderaan yang disita ditahan atas pelbagai kesalahan seperti kesalahan pengubahsuaian kenderaan atau nombor plat yang tidak mengikut peraturan.

“Selain itu, terdapat juga kesalahan pengubahsuaian ekzos dan semua kenderaan ini akan dihantar untuk pemeriksaan Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, usaha penguatkuasaan ini akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan di sekitar daerah Kota Kinabalu.

Disamping itu katanya, antara tujuan lain operasi ini dijalankan adalah bagi mendidik masyarakat untuk mengutamakan keselamatan dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

Tamat