Pam Bot Ditahan Bersama Bom Ikan.

KOTA KINABALU: Sebuah bot pam yang disyaki melakukan kegiatan bom ikan berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 0.12 batu nautika barat, Tanjung Saban, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, bot pam berkenaan yang disedari dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan cuba ditahan pasukan APMM.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berkenaan sempat melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum menghilangkan diri meninggalkan bot pam mereka.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot pam berkenaan disedari pasukan Maritim ketika sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan sekitar.

Bagaimanapun katanya, sebaik cuba dihampiri, bot pam berkenaan bertindak memecut laju ke arah pantai berhampiran sebelum kedua-dua lelaki itu menghilangkan diri setibanya di kawasan perairan cetek.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemui peralatan menyelam tradisional serta bom ikan.

“Bot pam terbabit kemudiannya disita dan dibawa masuk ke Jeti Maritim Sepanggar sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, antara barang yang dirampas adalah bot pam berwarna kuning, sebuah enjin pam, kompressor, segulung hos menyelam, dua botol bom ikan dan cermin mata menyelam.

Sementara itu, Mohd Rosli mengingatkan komuniti maritim supaya tidak melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bom ikan kerana aktiviti ini bukan saja salah disisi undang-undang malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut.

Katanya, kegiatan ini juga membahayakan nyawa si pelaku sendiri serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.

“Kes disiasat mengikut seksyen 26, Akta Perikanan 1965 iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 25 (a) akta sama yang mana pesalah warga asing boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta setiap seorang bagi pemunya atau nakhoda dan RM600,000 bagi tiap-tiap kru bot.

“Manakala untuk warga tempatan, ianya tertakluk kepada Seksyen 25 (b) iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mohd Rosli berkata, segala aduan dan laporan mengenai salah laku jenayah laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia menerusi Bilik Operasi Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan ditalian 088-387774.

Tamat