Tujuh Rumah Dan Sebuah Kedai Runcit Kampung Tebobon Bukit Musnah Terbakar.

Kota Kinabalu: Lebih 30 penduduk hilang tempat tinggal selepas tujuh rumah dan sebuah kedai runcit musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Tebobon Bukit, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa selepas semua penduduk kampung berkenaan sempat menyelamatkan diri masing-masing.

Tragedi kebakaran itu dikatakan bermula dari kedai runcit berkenaan sebelum merebak ke rumah berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.27 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 2.36 pagi, dan api sudah merebak dan memusnahkan beberapa rumah.

“Sebaik tiba operasi memadam api terus dilakukan dan kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak pada 4.36 pagi.

“Kebakaran hanya memusnahkan tujuh rumah dan sebuah kedai runcit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya jam 8.03 pagi tadi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian,” katanya.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota bomba dari BBP Kinabalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Tamat