Lelaki Cuba Bunuh Diri Ditahan.

Labuan: Rindukan ibunya. Itu alasan seorang lelaki yang ditahan polis selepas cuba membunuh diri dengan menoreh pergelangan tangannya sebelum cuba membakar dirinya di sebuah bilik hotel di kawasan Lazenda Commercial Centre, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun terbabit dikatakan menginap di hotel berkenaan sebelum bertindak cuba membunuh diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, siasatan awal polis mendapati, suspek dipercayai mengalami depresi kerana sudah lama tidak dapat bertemu ibunya.

Katanya, ibu suspek dikatakan sedang menjalani hukuman di salah sebuah penjara di Semenanjung Malaysia.

“Lelaki warga tempatan terbabit mencederakan dirinya sendiri sebelum membakar beberapa peralatan di dalam bilik hotel berkenaan.

“Tindakan awal menyelamatkan mangsa dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan hotel,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, sebaik tiba di lokasi , pihak bomba mendapati bilik suspek dalam keadaan berkunci namun berjaya memujuk suspek untuk membuka bilik berkenaan.

“Suspek didapati mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dan kanan dipercayai kesan torehan serpihan botol kaca dan di bawa ke Hospital Labuan oleh pihak ambulans.

“Suspek yang kini sedang ditahan di hospital Labuan masih menerima rawatan dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan membunuh diri.

“Hukuman bagi kesalahan ini boleh dipenjara selama tempoh setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

 “Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat

dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan yang berharga sebanyak lima puluh ringgit.

“Hukuman bagi kesalahan ini boleh dipenjara selama tempoh sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.

Tamat