LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mengagalkan aktiviti menangkap ikan oleh nelayan menggunakan kaedah pukat ‘Trinett’ di kawasan laut Weston, Sipitang, di sini, kelmarin.
Tangkapan itu berjaya dilakukan semasa operasi Op Benteng Covid yang dijalankan sekitar perairan itu bermula seawal jam 8 pagi.
Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin WP Labuan, Inspektor Shafiq Rezza berkata, semasa rondaan dilakukan bot ronda PPM berjaya mengesan beberapa bot nelayan yang aktif sedang melakukan aktiviti menangkap hasil laut menggunakan pukat ‘Trinett’.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran Polis, nelayan-nelayan terbabit bertindak memecut laju bot ke kawasan cetek untuk melarikan diri.
“Dalam operasi ini, kita merampas satu unit pukat ‘Trinett’ bersama kayu pemberat yang dijumpai semasa membuat pemeriksaan di kawasan sekitar.
“Pukat ini dipercayai dipotong oleh nelayan berkenaan semasa hendak melarikan diri. Peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,400.00,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Shafiq berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Sipitang dan semua barangan rampasan diserahkan kepada pegawai Jabatan Perikanan Sipitang, Sabah untuk tindakan lanjut.
Katanya, penggunaan pukat ‘Trinett’ untuk aktiviti nelayan adalah kesalahan dan melanggar peruntukkan undang-undang mengikut Akta Perikanan 1985.
“Pukat ‘Trinett’ adalah dilarang dan tidak dilesenkan sebagai peralatan menangkap hasil laut oleh pihak Jabatan Perikanan,” katanya.
Tamat







