PKP Terus Diperhebatkan.

Kota Kinabalu: Tahap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dikurangkan walaupun keadaan cuaca buruk melanda seluruh negeri Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, amaran dikeluarkan berikutan tindakan orang ramai yang dikesan cuba mengambil kesempatan melakukan rentas daerah sejak beberapa hari lalu.

Katanya, sebelum ini tular di media bahawa terdapat 100 kenderaan dihalang dan diarahkan berpatah balik di daerah Tawau selepas dapati cuba mengambil kesempatan untuk keluar.

“Mungkin sebab hujan, ada yang menganggap sekatan jalan raya (SJR) tidak dapat dilaksanakan tetapi kita teruskan walaupun hujan dan kita ambil tindakan sewajarnya.

“Jadi gesaan saya patuhi Prosuder Operasi Standard (SOP), dan jangan keluar dari rumah jika tiada keperluan yang mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Badan Korporat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Sehubungan itu, Hazani berkata, setakat ini sebanyak 93 peratus pematuhan SOP masyarakat setempat direkodkan dalam tempoh seminggu selepas PKP dilaksanakan di Sabah.

Katanya, pematuhan SOP itu akan dipertingkatkan lagi dalam kalangan masyarakat setempat di negeri ini dalam usaha memutuskan jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

“Setakat hari ini, pematuhan SOP di Sabah adalah 93 peratus dan kita akan tingkatkan lagi. Kita minta penduduk Sabah mematuhi SOP.

“Pada kali ini, kami tidak akan berkompromi lagi dan kita nak kurangkan jangkitan Covod-19 di Sabah,”katanya.

Tamat