Kota Kinabalu: Bunyi letupan kuat akibat kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan di Taman Mandarin Park, Jalan Lido, di sini, menyelamatkan tiga kakitangan gereja, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, ketiga-tiga individu berkenaan yang tinggal di dalam gereja di tingkat atas kedai kusyen dan stor minyak pelincir berkenaan sempat melarikan diri selepas menyedari berlakunya kebakaran.
Salah seorang mangsa, Betty Parani, 55, berkata, ketika kejadian dia bersama kakak dan seorang lagi rakan mereka sedang berdoa.
Katanya, sebaik selesai berdoa, mereka dikejutkan dengan beberapa bunyi dentuman daripada premis di tingkat bawah.
“Terkejut dengan letupan itu, saya terus keluar untuk melihat apa yang terjadi sebelum menyedari berlaku kebakaran.
“Saya terus memanggil kakak dan seorang lagi rakan di dalam gereja untuk keluar menyelamatkan diri dan membawa beberapa barangan termasuk dokumen penting,” katanya ketika ditemui selepas kejadian berkenaan.
Betty berkata, mereka bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Jamaludin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.08 malam.
Katanya, sepasukan 30 anggota dan pegawai dikerah bersama empat jentera pemadam api dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, api sudah merebak ke beberapa premis bersebelahan dan operasi pemadaman segera dijalankan menerusi pancutan air dari bahagian depan dan belakang.
“Api berjaya dikawal pada jam 12.28 tengah malam sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jamaludin berkata, kebakaran membabitkan kedai membuat kusyen, kedai pendawaian elektrik dan sebuah premis yang dijadikan stor membekal minyak pelincir kenderaan.
Selain itu katanya, kebakaran turut memusnahkan hampir 70 peratus premis di bahagian atas membabitkan bilik kakitangan gereja.
“Setakat ini, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran kali ini,” katanya.
Tamat









