
Penampang: Polis mengesan waris atau ahli keluarga seorang lelaki yang ditemui lemas di Sungai Moyog, di Kampung Tuavon, di sini, 14 Januari lalu.
Mangsa yang dianggarkan berusia 30-an mempunyai tatu di bahagian lengan kanan berbentuk “Love” dengan tulisan “Aya” dan “Johan”.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan lengkap berpakaian baju T dan berseluar panjang hitam.
Katanya, mayat lelaki terbabit masih berada di Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu.
“Sehingga kini, pihak polis masih menunggu waris atau ahli keluarga mangsa untuk menuntut mayat lelaki berkenaan.
“Oleh demikian, mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan waris atau keluarga mangsa diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Haris berkata, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohamediah Sani di talian 019-8634811 atau IPD Penampang 088-712222.
Tamat






