
Tuaran: Tiga individu maut dalam kemalangan ngeri membabitkan lori, kereta dan sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Berungis-Tenghilan berhampiran Simpang Marabahai Spurs, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, tiga yang maut adalah penunggang motosikal Jul Amri Shamsudin, 25 dan pembonceng IL Yasa Shamsudin, 35, serta pemandu kereta yang juga anggota polis, Koperal Shamsully Adly, 45 tahun.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati lori milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipandu dari arah Tamparuli menuju ke Tenghilan.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba dilokasi kejadian, motosikal yang dipandu salah seorang mangsa yang maut tiba-tiba keluar simpang sebelum dirempuh lori ATM berkenaan.
“Akibat kejadian itu, penunggang bersama pembonceng motorsikal terheret hingga masuk ke laluan susur dan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dalam masa sama, lori ATM berkenaan turut bertembung dengan Perodua Kancil dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Kancil yang baru selesai bertugas di Balai Polis Kota Belud sedang dalam perjanalan balik ke rumahnya di Bolong Tuaran.
Katanya, pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah selepas terperangkap di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori ATM berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini.
“Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Tamat






