
Kota Kinabalu: Seorang wanita yang memiliki lima rekod lampau kes dadah tidak pernah serik apabila sekali lagi ditahan bersama dadah di Jalan Taman Ridgeview, Luyang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, suspek berusia 40 tahun terbabit ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, polis turut merampas 122.33 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM12,2300.
Katanya, suspek dipercayai menjadi tali barut sindiket pengedaran dadah demi mendapatkan wang cara mudah.
“Modus operandi sindiket dadah ini, suspek akan dihubungi oleh pengedar dadah untuk mengambil bekalan syabu di satu lokasi rahsia.
“Selepas mendapatkan bekalan, suspek akan menyerahkan bekalan itu kepada pengedar lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Habibi berkata, suspek akan mendapat upah sebanyak RM300 bagi setiap kali urusan pengedaran dadah berkenaan.
Katanya, semakan rekod kesalahan lampau, suspek mempunyai lima rekod sabitan mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan satu rekod sabitan mengikut Seksyen 12(2) akta sama di Penampang.
“Jumlah rampasan dadah syabu dalam serbuan itu adalah seberat 122.33 gram dianggarkan bernilai RM12,233 mengikut harga pasaran gelap.
“Turut dirampas dua telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk berhubung dengan pengedar dadah bagi urusan jual beli dan penghantaran bekalan dadah.
“Hasil ujian urin juga didapati, suspek positif dadah,” katanya.
Menurutnya, suspek kini direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya.
tamat







