Beri Kontrak Kepada Keluarga, SPRM Tahan Pegawai Pusat Latihan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai sebuah pusat latihan selepas disyaki memberikan kontrak bernilai RM36,000 kepada keluarga sendiri.

Suspek berusia 40 tahun yang bekerja di sebuah agensi kerajaan persekutuan itu ditahan di pejabat SPRM Sabah, jam 12.15 tengah hari tadi.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, suspek ditahan kerana memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan ICT serta pembekalan makanan yang keseluruhannya berjumlah lebih RM36,000 kepada ahli keluarga.

“Suspek akan dikemukakan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, jam 9 pagi esok.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Menurutnya, beliau kecewa kerana masih terdapat kakitangan awam menggunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri dengan memberikan kontrak-kontrak kepada ahli keluarga.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Karunanithy juga mengesahkan dua lagi individu ditahan susulan penahanan empat kakitangan sebuah agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini berhubung kesalahan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu beberapa hari lalu.

Katanya, kakitangan dari agensi yang sama berusia 39 dan 41 tahun itu ditahan jam 12 tengah hari tadi di pejabat SPRM Sabah atas kesalahan sama iaitu Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Semua mereka ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dikemukakan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, esok,” katanya.

Tamat