PPM SELAMATKAN TIGA MANGSA BOT ROSAK


LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Lahad Datu berjaya menyelamatkan tiga rakyat tempatan yang mengalami masalah enjin ketika ingin pulang ke Tambisan dari perairan Rene Shoal, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, ketuga-tiga individu berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang selepas selesai aktiviti memancing di perairan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Pin Sing berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk Pulau Tambisan yang memberitahu terdapat sebuah bot hanyut di bahagian Timur Laut Rene Shoal.

Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, botronda RH42 yang bertugas membuat rondaan di kawasan perairan Tambisan terus menuju ke lokasi yang dilaporkan.

“Pemeriksaan kemudiannya mendapati sebuah bot tempatan dipercayai hanyut ditemui bersama tiga individu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot yang dinaiki tiga lelaki berkenaan mengalami masalah enjin dan hanyut dibawa arus hingga ke kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, botronda RH42 kemudiannya membawa semua krew bot ke Markas Tektikal Pulau Tambisan untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mangsa berusia antara 20 dan 50-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sehubungan itu, Gan menasihatkan komuniti laut supaya memastikan bot atau kapal yang digunakan berada keadaan baik ekoran keadaan cuaca tidak menentu serta laut bergelora ketika ini.

Katanya, semua pihak perlu mengutamakan keselamatan di laut dengan memakai jaket keselamatan setiap masa.

“Masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya juga boleh segera menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di nombor 013-2831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal,” katanya.

Tamat