Kondo Sarang Perjudian Diserbu.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki menjadikan kondominium miliknya di tingkat 6, Jalan Coastal, di sini, sebagai lokasi menganjurkan perjudian sempena Tahun Baru Cina, sejak Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas kondo berkenaan digempur polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerusi Op Limau, jam 11.15 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil serbuan itu, menahan 14 individu berusia antara 20 hingga 59 tahun termasuk tiga wanita.

“Pemeriksaan mendapati seorang yang ditahan tidak memiliki dokumen manakala tiga wanita warga Vietnam mempunyai pasport tamat tempoh.

“Polis turut merampas beberapa peralatan judi daun terup dan wang tunai berjumlah RM8,367,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kondo berkenaan milik salah seorang suspek yang ditahan dan dipercayai sebagai penganjur perjudian berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan mereka turut melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

tamat