Langgar Syarat Lesen. Dua Kapal Pukat Ditahan.

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menahan dua kapal nelayan pukat tunda selepas didapati melanggar syarat sah lesen di kawasan laut Tanjung Kubung, di sini, semalam.

Dalam operasi rondaan jam 4.30 petang itu, kedua-dua kapal nelayan berkenaan dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan tidak dibenarkan.

Pegawai Pemerintah PPM WP Labuan, Asisten Superitendan Saidul Maruf Rosli berkata, kapal nelayan yang berpangkalan di Labuan itu ditahan botronda yang sedang menjalankan rondaan rutin Op Benteng Covid.

Katanya, pasukan PPM yang menemui kapal berkenaan kemudiannya menjalankan pemeriksaan rutin.

“Pemeriksaan awal pasukan PPM mendapati kapal tunda berkenaan masing-masing dikendalikan juragan warga Indonesia yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Walaubagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tunda berkenaan melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan menggunakan koroncong mata pukat kurang 38 milimeter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Saidul berkata, kedua-dua kapal tunda berkenaan kemudiannya diiringi balik ke Pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan PPM kemudiannya merampas dua gulung pukat tunda, empat gulung tali pukat, empat unit pemberat papan.

“Selain itu, PPM turut merampas kira-kira 3,000 kilogram pelbagai jenis ikan dan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM80,000.

“Kes dirujuk kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Saidul berkata, aset PPM sentiasa digerakkan bagi tujuan rondaan untuk memastikan segala bentuk pelanggaran undang-undang di lautan dapat dibanteras.

Katanya, PPM turut mengalu-alukan masyarakat pesisir pantai supaya menyalurkan maklumat yang menyalahi undang-undang di kawasan perairan mereka melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197.

“Semua maklumat yang diterima amat membantu agar tindakan dapat dilaksanakan sekaligus memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat maritim sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.

Tamat