LAHAD DATU: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina, yang menaiki bot pam berjaya diusir keluar ketika cuba menceroboh masuk perairan negara, kira-kira 15 batu nautika, utara Pulau Tambisan, semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, kedua-dua individu terbabit yang dipercayai cuba mencari hasil di perairan negeri ini berjaya dipintas dan diusir keluar.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, bot pam berkenaan berjaya dikesan dalam rondaan rutin pasukannya.
Katanya, sebaik mengesan kehadiran bot pam yang mencurigakan itu, pasukan PPM terus menahannya untuk pemeriksaan.
“Semasa membuat rondaan di kawasan tanggungjawab, pasukan PPM mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan dari perairan jiran yang bergerak memasuki perairan negara.
“Hasil pemeriksaan polis, dua lelaki terbabit mengaku berasal dari Bongao, Filipina. Kedua-duanya turut gagal mengemukakan dokumen diri dan perjalanan yang sah,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Gan berkata, bot pam itu kemudiannya diarahkan keluar dengan diiringi sehingga melepasi sempadan perairan negara.
“Pasukan Polis Marin Lahad Datu sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di perairan negara khususnya bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.
“PPM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Gan berkata, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat Gerakan PPM Lahad Datu di talian 013-9808084 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.
Tamat





