PAPAR: Dua individu tempatan ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sekitar daerah ini, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 3 petang itu, kedua-dua suspek yang berjaya ditahan berusia lingkungan 20-an.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, semua suspek yang ditahan akan direman di lokap IPD Papar untuk tujuan siasatan lanjut.
Katanya, kedua-dua individu terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Selain itu, suspek yang ditahan juga akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.
“Dalam operasi ini, polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.10 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Batholomew berkata, ujian saringan awal yang dijalankan terhadap semua suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine.
“Kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha PDRM, khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.
“Disamping itu, operasi ini juga dijalankan dalam usaha mencegah aktiviti jenayah di daerah Papar ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya,
Sehubungan itu, menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah dan aktiviti jenayah di daerah ini supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tamat








