Kedudukan Strategik Sabah Berpotensi Tarik Pelaburan.


KOTA KINABALU: Kedudukan strategik negeri Sabah di rantau Asia Tenggara ini memberikannya potensi besar untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam dan luar negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain daripada itu, kekayaan sumber asli yang ada di negeri ini turut mampu menjana dan merancakkan ekonomi.

Katanya, ia jelas dibuktikan dengan perkembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA).

“Ia amat berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosio-ekonomi di Sabah.

“Saya difahamkan jumlah perdagangan di Sabah pada tahun 2020 mencecah sebanyak RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa lagi menteri kerajaan negeri serta persekutuan.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kelulusan pelaburan sektor pengilangan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk Sabah pada 2020 juga sebanyak RM11.95 bilion bagi melaksanakan 15 projek.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus bekerjasama memastikan pembangunan industri-industri seperti perkilangan dan pembuatan di Sabah.

“Sabah turut berpotensi dalam pembangunan industri aeroangkasa selari dengan Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030.

“Sebagai contoh, National Aerospace Industry Coordinating Office (NAICO) mencadangkan Kota Kinabalu sebagai kluster aeroangkasa dalam Rangangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pelaburan ini mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah selain memberi impak positif terhadap sektor-sektor lain di Sabah susulan peningkatan rantaian pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan sumber kewangan secara saksama seperti negeri lain dalam membangunkan negeri ini.

Katanya, dalam konteks negeri Sabah, beliau menyedari jurang pembangunan masih banyak ketinggalan dalam beberapa aspek sekiranya dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung.

“Selaras dengan salah satu objektif utama Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan pembangunan yang mampan di setiap negeri termasuklah di negeri Sabah.

“Pelan Pusingan (ENG: Rolling Plan Pertama) 2021 RMK-12, sebanyak 1,039 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM5.01 billion diluluskan untuk Sabah bagi pelaksanaan projek merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.

Tamat