Kejohanan Bola Sepak Tempatan, Medan Mencungkil Bakat Baharu.

Kota Kinabalu: Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Sri Bung Moktar Radin adalah platform terbaik bagi Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) untuk mengenalpasti bakat baharu.

Kejohanan yang bakal berlangsung 2 hingga 4 April depan itu akan memberi peluang kepada pemain berusia 18 tahun ke bawah di negeri ini untuk mengetengahkan bakat masing-masing.

Pemangku Presiden SAFA Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kejohanan yang bakal berlangsung di seluruh negeri mengikut Zon itu adalah salah satu usaha SAFA dalam mencari pemain berpotensi di peringkat akar umbi.

Katanya, ia adalah salah satu sumber pembangunan pemain muda dalam usaha memajukan bola sepak negeri Sabah.

“Ketika ini, kita melihat platform untuk mencungkil bakat baru amat kurang dan mungkin akan menyebabkan negeri ketandusan pemain berkualiti dalam arena bola sepak.

“Saluran untuk melahirkan bakat baru mungkin agak terhad. Oleh itu, kita perlu memulakan usaha-usaha seperti ini bagi melahirkan pemain pelapis masa depan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Moktar berkata, tidak mustahil bagi remaja di negeri ini dapat mengecapi kejayaan di peringkat lebih tinggi termasuk peringkat antarabangsa.

Katanya, beliau percaya ramai pemain muda di negeri ini mungkin tidak dapat menonjolkan diri walaupun mempunyai bakat dan kemahiran bola sepak yang tinggi.

“Kita mahu mencari pelapis kepada lagenda bola sepak Sabah seperti Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani serta beberapa lagi pemain yang amat membanggakan sebelum ini.

“Saya percaya program seumpama ini mampu membantu semua termasuk mereka yang berada di luar bandar untuk maju ke peringkat lebih tinggi dalam sukan bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Azman Mastar berkata, sasaran awal pertandingan tempatan ini adalah bagi mengcungkil bakat baharu bola sepak.

Katanya, selain daripada kejohanan kali ini, jawatankuasa berkenaan turut menyasarkan untuk menganjurkan beberapa lagi pertandingan dalam usaha menyemarakkan lagi semangat sukan bola sepak di negeri ini.

“Selepas ini, kita merancang untuk menganjurkan beberapa lagi pertandingan antaranya Piala Datuk Seri Hajiji Noor, Piala SAFA, Piala Kelab-Kelab Bola Sepak Sabah dan Piala Wanita,” katanya.

Tamat