Tiga Maut, Empat lagi Parah.

Papar: Tiga maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah keluarga yang menaiki lori pengangkut di kilometer 42, Jalan Kimanis-Keningau, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, lori yang dinaiki tujuh sekeluarga terbabit juga dikatakan sedang membawa muatan sebuah van, bergerak dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, lori terbabit dipercayai dipandu laju sebelum tiba-tiba hilang kawalan.

Katanya, lori berkenaan terus terbabas sendiri ke jalan bertentangan sebelum melanggar tebing bukit dalam keadaan menuruni bukit.

“Polis percaya brek lori berkenaan gagal berfungsi dengan baik dan akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori tersepit di tempat duduk hadapan lori manakala isteri dan salah seorang anak perempuannya pula terhumban keluar.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan segera.

Katanya, tiga mangsa yang maut berusia 12  hingga 40 tahun manakala yang cedera berusia lingkungan 4 hingga 15 tahun.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.