KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia yakin parti berkenaan akan membawa lebih banyak kebaikan kepada Negeri Sabah menerusi penyertaan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata, bidang ini bukanlah perkara baru baginya memandangkan beliau sudah ‘bekerja’ dengan sekurang-kurangnya sepuluh Ketua Menteri Sabah dan tiga Perdana Menteri sepanjang kerjaya politiknya.
“Saya mahu bergabung (GRS) kerana saya yakin dapat menyumbang kepada pakatan. Sudah tiba masanya pemimpin negeri ini memikirkan semula masalah yang mempengaruhi rakyat.
“Ini untuk negeri Sabah secara keseluruhan dan bukan hanya yang berkaitan dengan kepentingan peribadi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) Sabah, di pejabatnya, hari ini.
Antara yang hadir, Pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA, Carl Mossom, Timbalannya Datuk James Lim, serta barisan kepimpinan badan berkenaan.
Pandikar berkata, apapun situasi politik masa kini, Sabah mesti memulakan langkah awal atau sebaliknya terpaksa menghadapi ketinggalan dalam perlumbaan dengan negara jirannya.
Katanya, sebagai Duta Khas Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Sabah (BEBC) Sabah, ia secara peribadi dipertanggungjawabkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
“Beliau memberitahu saya selama 27 tahun BIMP-EAGA tidak ada perubahan yang ketara namun dia tidak perlu memberitahu saya mengapa.
“Sebagai contoh, di Sabah, BEBC mesti melalui Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri sementara di Sarawak badan berkenaan di urustadbir Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Jadi tugas saya sekarang adalah mengenal pasti rintangan ini dan mempercepat proses termasuk interaksi dengan Jabatan Ketua Menteri,” katanya.
Pandikar berkata, pelbagai rancangan akan dirangka dalam usaha untuk membantu membangunkan ekonomi negeri ini dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Pandikar mengulas lanjut mengenai pertemuan pertama dengan BEBC Sabah itu, beliau berkata, antara isu yang dibincangkan adalah kemudahan jeti di Kudat yang menghubungkan Palawan, Filipina.
Katanya, sehingga kini kemudahan yang di bina dengan kos RM7 juta oleh kerajaan persekutuan berkenaan masih belum digunakan.
“Selain itu, ada juga dasar-dasar lain termasuk jalan raya dicadangkan oleh BEBC sendiri yang masih belum lagi dimulakan pembinaannya ,” katanya.
Tamat








