SANDAKAN: Seorang pengurus syarikat dan seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dengan tindakan mengemukakan tuntutan palsu.
Difahamkan, tuntutan berkenaan membabitkan penyelenggaraan bot Klinik Bergerak 1Malaysia di daerah Kinabatangan yang dianggarkan bernilai RM336,000.00, dua tahun lalu.
Hakim Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali mendengar pendakwaan berkenaan kemudiannya membenarkan tahanan reman selama enam hari bermula 7 hingga 12 April depan.
Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit berjaya ditahan SPRM sejak petang semalam ketika dipanggil hadir di pejabat SPRM Sandakan untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan masih diteruskan sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu lelaki terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tamat







