Lapan Pati Ditahan Dalam OCP Daratan.

TAWAU: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menerusi OP Cegah Pati (OCP) Daratan yang dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, operasi jam 7.55 malam itu dijalankan berdasarkan maklumat yang dikesan oleh radar pasukan keselamatan.

Katanya, sebuah bot dikesan bergerak dari arah perairan negara jiran menuju ke kampung berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Sepasukan 15 anggota membabitkan ESSCOM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur gerak ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemui lapan lelaki bersama seorang wanita dan seorang kanak-kanak berada di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, semua individu terbabit dipercayai baru tiba dan masuk secara haram daripada negara jiran.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lapan orang  daripada 10 suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dua lagi lelaki tempatan pula dipercayai berperanan menunggu PATI terbabit untuk dibawa ke lokasi yang tidak diketahui,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 10 hingga 70 tahun dan semua dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan yang terbabit dalam membantu menjayakan OCP Daratan ESSCOM di daerah ini.

Katanya, kejayaan ini adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak terutamanya dalam menggagalkan taktik PATI yang menggunakan lorong-lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.

“ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan ESSZONE.

“Ia termasuk mengadakan rondaan dan  pemantauan secara agresif dengan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran,” katanya.

Ahmad Fuad berkata , ia juga salah satu untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.

Tamat