Dokumentasi Adat Tradisi Sabah.

KIULU: Terletak di pedalaman Kiulu, Sungai Libodon, di sini, menyimpan cerita legenda kawasan berkenaan yang pada dahulunya menjadi lokasi perang di antara puak-puak Kadazandusun.

Dikenali dengan tradisi memburu kepala di masa lalu, kaum Kadazandusun dikatakan saling berperang antara satu sama lain untuk mendapatkan tengkorak musuh sebagai simbol kekuatan puak masing-masing.

Semalam, sekumpulan kecil penduduk Kiulu berkumpul di bawah terik matahari untuk menyaksikan penyembelihan seekor kerbau berhampiran Sungai Libodon di Kampung Libodon, kira-kira dua jam perjalanan kereta dari Kota Kinabalu.

Penyembelihan kerbau diadakan secara simbolik bagi kedamaian dan perdamaian dalam masyarakat sempena Pesta Kaamatan peringkat negeri, di mana darah haiwan turut dituangkan ke dalam Sungai Libodon yang mengalir ke Sungai Tuaran.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata tujuh lokasi, termasuk Kiulu, dipilih sebagai tempat upacara tradisi penyembelihan kerbau sebagai simbolik ‘pibabasan’ (perdamaian).

Menyaksikan acara itu, beliau berkata adat istiadat Kadazandusun menarik untuk diperhatikan kerana ia dapat memberi pengetahuan yang berharga dalam memahami budaya sesuatu kaum, terutama mengenai kesatuan budaya.

“Pertembungan puak (Kadazandusun) adalah seperti pertengkaran politik. Budaya dan perpaduan boleh menjadi jambatan penyatuan untuk mendamaikan konflik politik berdasarkan rasa hormat bersama.

“Amalan tradisi yang memfokuskan pada keamanan dan perdamaian adalah penting untuk perpaduan budaya, terutama dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama. Ini adalah warisan budaya yang kaya dengan nilai dan harus dilestarikan.

“Pengetahuan mengenai kepercayaan tradisi dan amalan adat perlu diturunkan dan tidak dilupakan kerana ini adalah latarbelakang budaya kita,” tambahnya.

Joniston turut menekankan keperluan untuk mendokumentasikan semua amalan adat yang terdapat di negeri ini untuk pemahaman budaya, dan peringatan tentang apa yang menjadi asas dan menghubungkan kita dalam membina komuniti yang lebih baik.

Beliau berkata Kementeriannya dan STB giat mendorong individu-individu, termasuk penerbit filem atau dokumentari tempatan, untuk bekerjasama dalam mendokumentasikan amalan budaya di negeri ini sebagai cara mempromosikan Sabah sebagai destinasi warisan budaya.

Penyembelihan kerbau semalam, turut didokumentasikan oleh kru filem tempatan yang juga melakukan penggambaran yang memfokuskan Kiulu sebagai destinasi pelancongan luar bandar.

Dalam acara yang diadakan secara kecil-kecilan itu, penduduk-penduduk kampung turut sama memotong, memasak, dan berkongsi daging kerbau antara satu sama lain.

Turut hadir ialah pengarah budaya dan warisan sosial Persatuan Budaya Kadazandusun (KDCA) Dr Benedict Topin; penolong pegawai daerah Kiulu Justin Gindok; penolong pegawai daerah Tamparuli Herman Tunggiging; ketua-ketua anak negeri; dan ketua-ketua kampung.

Tamat.