Masyarakat Digalakkan Menderma Darah.

Kota Kinabalu: Meskipun kempen derma darah kali ini diadakan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun kesedaran tinggi terhadap kekurangan bekalan darah hospital akan dapat mengatasi kebimbangan itu.

Usaha murni anjuran gabungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Inanam pada 16 Mei depan itu diharap akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Inanam, Datuk Wong Thien Fook berkata, kempen berkenaan akan dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Persatuan Thalassaemia Sabah serta Persatuan Bulan Sabit Merah.

Katanya, selain mendapatkan bekalan darah, kempen berkenaan juga memberi peluang kepada orang ramai mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin Covid-19.

“Menerusi program itu, ia bukan saja dapat meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah tetapi juga memberi penerangan jelas mengenai Vaksin Covid-19.

“Orang ramai yang ingin menderma darah tidak perlu risau kerana proses menderma darah dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui, hari ini.

Wong berkata, untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Osmond Asun di talian 011-25239266 atau Felix Vun 016-8222802.

Sementara itu, Wong amat berterima kasih kepada beberapa pihak yang tampil menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program kali ini.

Katanya, pihaknya menerima sumbangan minuman daripada Maestro Swiss Trading Sdn Bhd untuk diedarkan kepada penderma semasa program berkenaan dijalankan.

“Semoga lebih ramai pihak akan tampil menghulurkan sumbangan sebagai penghargaan kepada penderma darah pada hari berkenaan,” katanya.

Tamat