Beaufort: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort mengerahkan 18 pasukan pematuhan bagi memantau rumah terbuka yang tidak menuruti Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pasukan berkenaan akan digerakkan dari semasa ke semasa termasuk berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam.
Katanya, pasukan berkenaan akan membabitkan seramai 230 pegawai dan anggota yang bersiap sedia sepanjang masa untuk menjalankan pemantauan.
“Langkah pertama yang dilakukan adalah memberikan nasihat kepada tuan rumah sekiranya rumah terbuka berkenaan tidak mematuhi SOP.
“Apa yang penting ketika ini adalah kesedaran masyarakat mengenai potensi jangkitan penyakit berkenaan tanpa mengira masa dan tempat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, pasukan IPD Beaufort sentiasa bersiap siaga pada tahap yang tinggi dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
Sementara itu, Yusoff Zaki berkata, sekurang-kurangnya 450 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba merentas daerah di dua sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, jumlah itu diperoleh hasil pemeriksaan sebanyak 80,000 kenderaan keluar masuk di daerah Beaufort bermula 18 Mac 2020 hingga 15 Mei tahun ini.
“Pemeriksaan mendapati kebanyakan kenderaan berkenaan didapati tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan antaranya tidak mempunyai surat kebenaran merentas daerah.
“Selain itu, ada juga kenderaan yang dikesan membawa lebihan penumpang terutama membabitkan pengangkutan awam,” katanya.
Yusoff Zaki berkata, sepanjang tempoh sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 450 saman membabitkan kesalahan tidak mematuhi SOP.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk kedai-kedai yang tidak memiliki alat suhu, tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakkan sosial,” tegasnya.
Tamat









