Beaufort: Marah isteri kerana mahu pulang ke kampung, seorang suami bertindak luar batasan apabila memberi racun kepada anak perempuan mereka dalam kejadian di Kampung Bundu, Kuala Penyu, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 43 tahun itu turut dikatakan bertindak mencekik mangsa yang berusia 5 tahun.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suami dan isteri.
Katanya, isteri suspek menyatakan mahu pulang ke kampung bersama anak-anak ke Keningau namun perkara itu dibantah suaminya.
“Suspek yang berang kemudian memberi anaknya minum kopi yang sudah dicampur dengan racun rumput.
“Perkara itu hanya diketahui ibu mangsa selepas diceritakan oleh anak sulungnya yang berusia 8 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, tidak cukup dengan itu, suspek turut dilaporkan membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa.
Katanya. mangsa sudah dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.
Sementara itu, Yusoff Zaki berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak),” katanya
Tamat




