KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua bot nelayan yang menceroboh perairan Kudat, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot berkenaan dikesan semasa rondaan rutin aset Maritim Malaysia di perairan berkenaan.
Katanya, sebaik dikesan, kedua-dua bot cuba meloloskan diri namun tindakan pantas pasukan Maritim Malaysia berjaya memintasnya.
“Kedua-dua bot berkenaan ditahan bersama 15 kru termasuk tekong berusia lingkungan 30 hingga 42 tahun berhampiran dari Pulau Straggler, di sini.
“Hasil pemeriksaan, pasukan Maritim Malaysia berjaya menemui peralatan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Boon berkata, anggaran rampasan keseluruhan tangkapan kali ini bernilai RM 2 juta termasuk bot dan bekalan diesel.
Katanya, bot dan individu yang ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, Boon menegaskan, Maritim Malaysia akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut.
Katanya, sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24jam.
Tamat






